Ajaib.
Tapi itu yang berlaku. Aku membayangkan kehidupan tanpa perlu ada pilihan. Semuanya telah ditentukan. Bak puteri. Yang hidupnya bangun pagi, sarapan telah disediakan tanpa perlu dia memilih atau berfikir apa santapannya pada pagi itu, busana yang telah ditentukan dan hanya perlu dipakai, dan jadual-jadual harian yang telah disediakan hanya perlu dilaksanakan. Dan ia berputar, pada putaran yang sama. Indah.
Lalu akan ada yang menyangkal. Takkan selamanya kau nak hidup seperti robot? Yang hanya mengikut pada telunjuk, mematuh pada yang disuruh? Kehidupan adalah kebebasan. Kebebasan memilih.
Kalau memilih pada kesilapan, kenapa susahkan jiwa untuk buat pilihan?
Mungkin aku terlalu banyak berfikir. Aku takut pada pengakhiran. Pengakhiran adalah kematian. Dan kematian bukan pilihan. Dan aku bukan berkata tentang kematian, tetapi pengakhiran kepada kesilapan. Kesilapan membuat pilihan. Gagal. Keputusan bukan seperti yang diharapkan.
Aku fikir, jika tiada pilihan, maka tidak akan ada keputusan, dan tidak akan ada kesilapan. Ah, sulit. Aku mahu bermimpi lagi.