Dia datang bertatih bersama telefon mak ditangannya, rapat, dekat dengan aku.
'Boboiboy. boboiboy.' berkata dia dengan pelatnya yang pada perkiraan aku lebih berbunyi, 'ba bah-bai. ba bah-bai.'
Aku senyum dan aku capai telefon dari tangan kecilnya. Segera dia mempersiap dirinya ke atas ribaku. Dah menjadi rutin harian dia menonton Boboiboy bila dah penat bermain.
Aku tahu pada kebenaran, yang dia masih belum lagi pandai berkata-kata, yang dia masih lagi menangis terjerit jika tidak dapat apa yang diminta, yang dia masih lagi tak tahu apa itu bahaya. Aku harap dia kekal sebegitu. Jangan membesar. Biar begitu. Terus senyum dan terus ketawa. Terus berlari tanpa fikir apa-apa.
Aku mahu senyum tawa dia mengisi hari-hari aku.
Semester baru hampir bermula. Semoga aku tak terlalu rindu.